Karya 1 : Cerpen : Kuih Pau



Cerpen ini merupakan karya sulung saya dalam penulisan kreatif. Oleh itu segala macam bentuk dan struktur ayat yang kurang gramatis dan tidak teratur adalah menjadi kelemahan saya kerana masih bertatih dalam dunia penulisan cerpen. Saya mengharapkan cadangan yang dapat menambahbaikkan karya ini supaya akhirnya berguna dan bermanfaat untuk sesiapa sahaja yang membacanya..hayati dan fahamilah mesej yang ingin disampaikan seterusnya sampaikan kepada yang lain tau!:)


Kuih Pau
Oleh : R. Riduan

ADA sebuah kampung di kawasan perkampungan nelayan Kuala Sungai Baru. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat kuih pau dan menjualnya di pasar setiap hari.. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Kuih pau yang dijualnya merupakan kuih pau yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual kuih paunya, tiba-tiba dia tersedar yang kuih paunya yang diperbuat daripada tepung gandum dan yis hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya kuih pau beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain.Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab kuih paunya yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar tepung gandum ini menjadi kuih pau. Amin” Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan kuih pau itu dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban adunan tepung gandum dan yis itu menjadi kuih pau. Namun, dia termenung seketika sebab tepung itu masih tetap tepung yang mentah.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.

“Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual kuih pau kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah adunan tepung gandumku ini kepada kuih pau, Amin” Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu.

Apakah yang terjadi? Dia termanggu dan hairan apabila adunan kuih paunyanya masih tetap begitu! Sementara itu, hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walau bagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua kuih paunya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.

“Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah kuih pau ini. Amin” Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang kuih paunya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan kuih paunya yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Kuih paunya masih belum menjadi! Dia pun tersentak seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan kuih pau. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli kuih paunya yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual kuih pau, kuih pau mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir,
“Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap kuih pauku yang belum menjadi ini.”
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual kuih pau yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual kuih pau, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari kuih pau yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya, “Ya Allah, saat ini aku tidak mahu kuih pauku ini menjadi lagi. Biarlah kuih pau ini seperti tadi semula, Amin” Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup kuih paunya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar kuih paunya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua kuih paunya yang belum menjadi itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,

“Mengapa hendak membeli kuih pau yang belum jadi?”

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di Australia teringin makan kuih pau dari desa. Memandangkan kuih pau itu akan dikirimkan ke Australia, si ibu tadi perlulah membeli juih pau yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di Australia nanti akan menjadi kuih pau yang sempurna. Kalau dikirimkan kuih pau yang sudah menjadi, nanti di sana kuih pau itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Ulasan

  1. Cerpen mini ini menarik kerana ideanya yang tidak terjangkau dek minda pembaca.
    Cuma daripada aspek bahasanya perlu dimurnikan lagi.
    Syabas, saudara!

    BalasPadam
  2. hahaha..cerpen untuk assingment sem lepas..idea macam-macam..tapi ilmu mengarang masih lemah..terima kasih atas kesudian membaca ya..:)

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Info 12 : KAMUS LOGHAT PERLIS YANG UNIK

Indahnya Berbahasa : Bahasa Istana

Rujukan kehormat