Tazkirah 19 : AKU MENCARI KEREDAANMU



Assalamualaikum...w.b.t

Syukur kehadratNYA kerana masih memberikan kita nafas utk teruskan perjuangan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Baiklah, post kali ini adalah berkaitan dengan pengalaman saya menunggang motosikal sejauh hampir 480km bermula dari Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis sehinggalah ke Institut Bahasa Melayu atau lebih dikenali sebagai IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.


Kenangan saya sewaktu kecil dengan motosikal


Sebenarnya pengalaman ini bukanlah yang terhebat atau yang boleh dibanggakan kerana ada sahabat-sahabat kita yang sebelum ini sebenarnya telah lama menjelajah lebih jauh dari ini. Ada yang pergi umrah dengan menaiki motosikal, dan orang kampung saya sendiri yang saya panggil Pak Ndak Rosli turut mengatakan masa mudanya dahulu adalah perkara biasa menunggang motosikal bahkan dahulu orang hanya menggunakan Honda C70 sahaja untuk pergi ke Negeri Sembilan dari Perlis.


Kenangan lalu berbasikal dari Perlis ke Pulau Pinang masa tingkatan 4


Tercabar jugak jiwa keremajaan saya dibuatnya. Dahulu masa zaman sekolah, jiwa membuak-buak juga, apa tidaknya, disebabkan terpengaruh dengan Le Tour De Langkawi (Kejohanan Berbasikal Merentasi Malaysia tu) saya pun teringin sangat nak berbasikal menjelajah negeri. Ketika itu, berbekalkan basikal mountain bike yang sudah di "operate", dan duit simpanan sebanyak RM50, saya telah menunggang basikal dari Perlis ke Pulau Pinang yang jaraknya lebih kurang 120km. Bagi saya itulah rekod saya sepanjang hidup kerana masa mudalah kita nak dapatkan pengalaman, kerana pengalaman bukannya boleh dapat di kedai, tetapi pengalaman ini adalah sesuatu yang perlu kita hadapi dan lalui. Barulah dapat manisnya rasa pengalaman itu.





Berbalik kepada menunggang motosikal tadi, dengan menunggang motosikal Yamaha SS110 milik arwah abah, yang kini berusia hampir 20 tahun, saya lalui perjalanan menuju ke tempat pengajian dengan seorang diri. Perjalanan yang memakan masa hampir 12 jam di atas moto (campur rehat, makan, sembahyang, dan isi minyak la) dengan kelajuan purata 60-70 KM/J, akhirnya sampai juga saya ke destinasi meskipun terpaksa mengambil masa yang terlalu lama. Kata orang, “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”, saya pegang kata-kata itu untuk kuatkan semangat teruskan perjalanan meskipun terkadang keletihan disebabkan terlalu lama di atas jalan.



Alasan saya menunggang motosikal ini adalah disebabkan oleh perasaan ingin tahu akan perit dan susahnya memandu seorang diri menempuh perjalanan yang jauh. Bagi saya adalah satu kepuasan apabila dapat menunggang motosikal kerana dapat menikmati sendiri keindahan ciptaan ALLAH yang sangat unik dan benar-benar membuatkan kita muhasabah diri. Apa tidaknya, bukit bukau yang Allah ciptakan cukup indah ditambah pula dengan litupan pohon-pohon menghijau yang semuanya ada fungsi dan peranan masing-masing.

Kesempatan menunggang motosikal ini juga benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan kita dalam mengharungi liku-liku hidup. Jika kita terlalu senang, kita sentiasa akan lupakan Allah, kita alpa dan leka. Namun jika kita berada di tengah lautan yang penuh dengan badai mesti mulut kita akan sentiasa basah dengan zikrullah dan istigfar padaNYA. Di sinilah kita akan sedar yang sebenarnya kita kerdil di hadapan Allah. Siapalah kita untuk melawan jauh lagi untuk menduakanNYA. Percayalah sahabat-sahabat, jika ada cara yang difikirkan gila bagi sesetengah orang tetapi manfaat bagi kita untuk mendekatkan diri kita padaNYA, buatlah kerana hidup di dunia ini bukanlah selamanya kerana tujuan kita adalah untuk mendapat keredaanNYA dan bukannya kemurkaanNYA.



Saya agak berbangga dengan KTMB ( Keretapi Tanah Melayu Berhad) yang kini telah meningkatkan taraf perkhidmatannya dengan jadual yang lebih fleksibel dan perjalanan yang lebih cepat berbanding dulu. Namun apa yang mengecewakan saya adalah pihak ini telah menggugurkan satu koc yang menempatkan SURAU yakni tempat untuk umat ISLAM seperti saya untuk melakukan ibadat. Bukannya tidak boleh solat di kusyen atau di katil, tetapi pertanyaan saya mengapa digugurkan surau itu?atas alasan apa? Apa yang saya perhatikan bukan semua orang tahu akan cara solat dalam perjalanan, tetapi disebabkan tiadanya surau yang selama ini menjadi satu kemudahan bagi umat Islam beribadat telah menyebabkan ramai manusia yang menggelarkan dirinya ISLAM meninggalkan solat. Jika ditanya kenapa tidak solat? Jawapannya mudah, surau dah takda la adik, macamna nak solat?

Oleh itu, sebagai pengisian untuk post kali ini, saya menyeru kepada sahabat-sahabat pembaca sekalian, tetapkan target kita, tetapkan niat kita, ISLAM apakah kita? Kita nak jadi ISLAM yang biasa-biasa sahaja atau ISLAM yang benar-benar mengikut kehendak syara’? ingatlah, iman tidak dapat dibeli dan iman juga tidak dapat diwarisi maka berusahalah kita untuk mendapatkan keimanan yang sejati. Akhir kata, saya ingin berpesan bahawa ALLAH TIDAK TANYA APA HASIL TETAPI ALLAH AKAN TANYA APA USAHA KITA UNTUK TEGAKKAN AGAMA ISLAM!..

Bersama-samalah kita doakan agar Allah memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah dalam jalan dakwah ini dan menemui syahid pada penghujung nyawa kita semua. Hidup mulia mati syahid!

Akhirul kalam... tarbiyah merupakan proses, dakwah adalah seruan dan ajakan. Bina diri kita terlebih dahulu, dalam masa yang sama mengajak orang lain bersama.
Selamat Beramal!:)

Ulasan

  1. Teringin juga berkelana segini.
    Tapi apakan daya, ada seribu dalih dalam diri...
    hehe

    BalasPadam
  2. Bak kata orang..Lautan api sanggup kurenang...
    sebenarnya bukannya bermakna sanggup untuk berenang merentasi lautan api..tetapi kata-kata itu sebenarnya ingin menggambarkan dengan tekad dan niat yang kental, kita akan sanggup buat apa saja demi memenuhi apa yang dihajati...insyaAllah boleh sahabat..xlama nnt leh jln2 kt utara plak..:)

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Info 12 : KAMUS LOGHAT PERLIS YANG UNIK

Indahnya Berbahasa : Bahasa Istana

Rujukan kehormat