Sabtu, 19 Februari 2011

Tazkirah 9 : Menyingkap Tragedi Memali

Perjalanan ke Johor Baharu baru-baru ini sememangnya memakan masa yang lama. Oleh itu, rehat di dalam baslah memberikan saya ruang & peluang untuk mula membaca. Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingin sangat ingatkan anda semua bahawa review buku kali ni:-

TIADA NIAT untuk menghasut orang agar membenci kerajaan.

Saya cuma ingin menjadi orang yang selalu bercakap benar walaupun ianya pahit untuk didengar. Jadi awal-awal lagi saya ingin meminta maaf kepada sesiapa yang mungkin akan tersinggung sepanjang review buku ini nanti. Lagipun, demi untuk sampaikan maklumat-maklumat yang jujur, saya terpaksa bongkar segala 'rahsia' yang selama ini disorok rapi.

Baiklah, siapa yang masih ingat lagi tentang Peristiwa Memali?
Sebenarnya, majoriti masyarakat kita masih lagi kabur tentang cerita sebenar Peristiwa Memali. Puncanya, selama ini kita asyik disogok oleh cerita dari suatu pihak sahaja iaitu cerita yang sudah dikaburkan kebenarannya oleh pihak-pihak tertentu. Sedangkan, lebih adil kalau kita dapat dengar cerita dari pihak yang satu lagi, yang selama ini sengaja ditutup & cuba dipadamkan.

Sudah lama saya mencari info yang datangnya dari pihak yang lagi satu sebabnya ada orang berkata, kalau ingin tahu pengalaman dilambung ombak, hanya orang yang duduk dalam perahu sahaja yang dapat rasai bagaimana rasanya dilambung ombak berbanding orang yang hanya melihat perahu dilambung ombak dari tepi pantai.

Maka akhirnya, inilah dia buku yang menceritakan pengalaman 'orang dalam perahu itu'!.


Penulis : Riduan Mohamad Nor & C.N Afghani
Penerbit : Jundi Resources
Website : www.tintajundi.com
Email : akhi_karim84@yahoo.com
Harga : RM 20.00 (Semenanjung M'sia)
RM 22.00 (Sabah/Sarawak)

Buku 'Memoir Tragedi Memali' yang ditulis oleh Ustaz Riduan Mohammad Nor & C.N Afghani ni benar-benar berani & jujur. Ia membawa kita meneroka lebih dalam & lebih telus tentang apa yang berlaku semasa Peristiwa Memali itu. Buku ini menghimpun penceritaan mangsa-mangsa Memali yang terdiri dari balu syuhada, sahabat & anak buah Ustaz Ibrahim Libya.

Ringkasnya, kebangkitan Islam mula melanda seluruh dunia sekitar 1970an. Tapi sekitar 1980an kehangatannya lebih terasa. Kebangkitan Islam masa itu menjadi satu fenomena kesedaran masyarakat Islam seluruh dunia untuk kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup sekaligus menolak sistem sekular. Lalu Malaysia pun terkena tempiasnya. Masyarakat Islam mula memprotes pihak pemerintah ketika itu yang gagal laksanakan Islam & pemimpin yang hanyut dengan pemikiran barat.

Pada 19 November 1985 bertempat di Baling, Kedah, polis yang dibantu PPH (Pasukan Polis Hutan) & FRU telah bertempur dengan penduduk kampung Memali yang dipimpin oleh Ustaz Ibrahim Libya, mengorbankan 14 penduduk kampung & 4 orang anggota polis, mencederakan berpuluh-puluh yang lain serta penahanan 36 orang dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Masa itu Dr. Mahathir berada di China & Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Polis mendapat arahan laksanakan Operasi Angkara atau Operasi Hapus kononnya menghapuskan satu markas pengganas komunis. Dalam pertempuran itu, Ustaz Ibrahim Libya telah dibunuh oleh pihak keselamatan atas alasan menjaga keselamatan negara.

Pembunuhan di Memali telah menimbulkan kemarahan rakyat. Majlis Fatwa dikerah keluarkan fatwa untuk kerajaan ketika itu dalam menghalalkan darah yang tumpah di Memali.

Tapi Tuan Guru Nik Aziz pernah menjelaskan,
"Ustaz Ibrahim diserang dirumah dia, dia mengajar agama, dia mempertahankan anak isteri, nyawa dia, harta benda, ada fatwa atau takda fatwa pun beliau syahid"

Lalu, banyak persoalan yang timbul dikalangan masyarakat tentang peristiwa ini. Antaranya:

1-Betul ke Ustaz Ibrahim membawa ajaran sesat?
2-Betul ke Ustaz Ibrahim pengganas & pengkhianat negara?
3-Betul ke Ustaz Ibrahim mati syahid?
4-Betul ke penduduk Kampung Memali masa itu kebal?
5-Betul ke polis masa itu bertindak keterlaluan?
6-Betul ke kerajaan masa itu anti-Islam?

Betul ke semua itu? Betul ke macam ini? Dan macam-macam lagi...mmm...macamana? Siapa boleh jawab semua soalan diatas? Dengan izin Allah, mungkin buku ini jawapannya.

Diawal cerita, ia bergerak agak perlahan sebab ia cuba fahamkan kita tentang sejarah hidup Ustaz Ibrahim Libya, kemudian cerita-cerita sebelum Peristiwa Memali & lakhir sekali barulah Memoir Tragedi Memali. Bahasa yang digunakan dalam buku ini agak berbunga-bunga yang buatkan saya agak lambat habiskan buku ini sebab saya sudah terbiasa membaca buku-buku yang gaya bahasanya “straight to the point”. Tapi lama-kelamaan cerita dalam buku ini makin membangkitkan perasaan hingga membuatkan saya menangis!

Siapa Ustaz Ibrahim Libya ini?

Nama sebenar beliau ialah Ibrahim bin Mahmud. Beliau adalah anak jati Kampung Memali. Lepas tamat persekolahan, Ustaz Ibrahim lanjutkan pelajaran di Akademi Islam Nilai Puri, Kelantan. Kemudian beliau sambung belajar di Darul Ulum, Deoband, India & mendapat pendidikan tertinggi. Seterusnya, beliau panjangkan lagi pendidikannya di Universiti al Azhar, Mesir & dapat ijazah Sarjana Muda Syariah. Disebabkan rasa cinta beliau yang mendalam terhadap dakwah, beliau sambung lagi pelajarannya di Maahad Dakwah, Tripoli, Libya & dapat biasiswa daripada kerajaan Libya.



Lepas tamat belajar luar negara,beliau balik ke Malaysia & bekerja sebagai pendakwah dengan Pusat Islam. Kalaulah beliau dituduh sesat, ironinya beliau memiliki tauliah mengajar di Selangor & Kedah, serta jadi penceramah kat radio & TV. Bahkan beliau ajar kitab Mustika Hadith yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri sendiri.

Setelah lama berkhidmat ditempat orang, hati beliau rupanya tidak pernah bahagia dengan duit gaji beribu ringgit. Cinta beliau terhadap dakwah tiada siapa yang boleh menghalang. Cita-cita beliau yang ingin dirikan sekolah bagi penduduk kampung tidak pernah padam. Akhirnya beliau meletak jawatan & pulang ke kampung untuk berbakti kepada masyarakat. Perkara pertama yang beliau buat ialah asaskan sekolah pengajian Islam di kampungnya.

Madrasah Islahiah Diniah



Madrasah Islahiah Diniah mula diasaskan oleh Ustaz Ibrahim pada 4hb Jun 1978 dengan dibantu beberapa rakan karib beliau. Asalnya ia bukanlah sekolah batu seperti yang anda tengok pada gambar atas itu, ia hanyalah sebuah sekolah kayu yang diperbuat daripada pokok-pokok hutan belakang kampung. Tapi atas usaha mereka yang sentiasa dapat sokongan penuh dari masyarakat setempat, sekolah ini terus berkembang. Kisah perkembangan sekolah ini memang menarik & penuh semangat tetapi anda perlu membacanya sendiri kerana risau review ini panjang sangat. Antara yang menarik ialah ramai ibu bapa termasuk di luar kawasan Kampung Memali, memindahkan anak-anak mereka dari sekolah kerajaan ke Madrasah Islahiah Diniah agar anak-anak mereka berpeluang belajar Islam dengan lebih berkesan & sistematik disebabkan sekolah kerajaan pada ketika itu sangatlah kurang tentang Islam.

Cuba anda nilai sendiri mata pelajaran yang diajar di Madrasah Islahiah Diniah itu. Ada atau tidak berunsur ajaran sesat atau unsur komunis ataupun pengganas? Kalau ada ,maknanya semua sekolah agama yang ada di negara kita sekarang ini adalah sesat & sarang pengganas.




Tragedi Memali

Saudara sekalian. Setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk tidak memasukkan cerita pertempuran antara pihak polis & penduduk kampung. Sebab saudara boleh pergi kemana-mana majalah atau blog atau artikel diluar sana yang berlambak-lambak menceritakan tentang tragedi tu. Samada info mereka benar atau info dari buku ni yang benar, biarlah saudara sendiri yang tentukan. Sebab saya lagi tertarik untuk menceritakan cerita SELEPAS PERTEMPURAN yang amat jarang diceritakan orang.





Kisah yang akan anda baca nanti adalah berdasarkan dari pengalaman 2 orang penting masa Peristiwa Memali iaitu balu Ustaz Ibrahim, Pn.Solehah & sahabat baik Ustaz Ibrahim, Mat Piah Yunus yang ditembak 14 peluru M16 dari jarak kurang 10 meter tetapi alhamdulillah sampai sekarang masih hidup. Allah bagi kita peluang untuk dengar sendiri cerita dari mangsa yang terlibat. Baiklah, mari kita mulakan.




Setelah tembakan kedua yang lebih dahsyat dari tembakan pertama tadi, orang kampung sudah tidak mampu untuk melawan lagi. Ramai yang rebah kebumi. Yang tidak cedera diarah naik ke atas trak polis. Kebanyakan lelaki dipukul dengan bontot senapang, disepak, diterajang & ditempeleng. Tidak jauh dari situ, ada sederet orang-orang lelaki di arah meniarap atas jalan. Kemudian kelihatan beberapa anggota polis lelaki naik & berjalan-jalan atas belakang badan mereka saling tak ubah macam cerita orang tua-tua dulu, tentang zaman kekejaman askar Jepun.



Kemudian, semua tahanan dibawa ke Kem PPH Tanjong Pari & semua di arah berkumpul di halaman kem. Semua tahanan lelaki masih digari tangannya. Tetapi tahanan perempuan tidak. Semua tahanan jelas keletihan kebetulan hujan turun masa tu. Terpaksalah mereka semua beratur dalam hujan lebih sejam sampai menjelang maghrib. Kanak-kanak termasuk yang baru 8 bulan, menangis kerana kesejukan tanpa seurat benang & kebanyakan tahanan lelaki masih tidak berbaju. Pihak polis langsung tidak menunjukkan simpati kepada orang kampung.

Selepas selesai memeriksa semua tahanan, tahanan lelaki dibawa ke bawah bangsal kereta yang penuh dengan minyak untuk berlindung & tangan mereka masih bergari. Layanan kasar anggota polis masih berterusan. Sementara tahanan perempuan pula dibawa berlindung bawah bumbung berhampiran bilik balai.

Lebih kurang pukul 9 malam, barulah mereka semua diberi makan iaitu nasi lauk sardin mentah & seiris betik. Para ibu yang ada anak-anak terpaksa berkongsi makanan. Sepinggan nasi untuk 2 atau 3 mulut & rata-rata para ibu terpaksa berlapar demi anak-anak. Yang lain-lain, terpaksa makan juga walaupun tidak berselera disebabkan rata-rata mereka tidak makan sejak pagi (ada yang tidak makan dari malam) sebab pagi itu mereka 'bersarapan' dengan serangan gas & peluru!

Tidak lama selepas mereka habis makan, maka bermulalah episod soal siasat pihak polis. Cerita masa soal siasat ini memang penuh dengan perasaan sedih, geram dan macam-macam lagi perasaan. Cuma saya tidak dapat untuk ceritakan semuanya di sini sebabnya nanti panjang sangat.

Seterusnya, anda akan membaca kisah bagimana mereka ditahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya tertarik dengan kisah apabila mereka dibawa ke Kem PPH Sungai Petani. Semua tahanan lelaki & perempuan di tempatkan dalam satu dewan besar. Di luar dewan ramai orang sedang menyaksikan mereka, seolah-olah macam memerhatikan binatang dalam zoo.

Ramai antara mereka berbisik-bisik sesama mereka tetapi ada yang bercakap kuat.

"Komunis apa, pakai tudung!"

Mungkin sebelum ini, mereka difahamkan yang kesemua tahanan tu adalah anggota komunis.

Juga anda akan jadi geram apabila membaca kisah mereka ditipu beberapa kali oleh pihak berkuasa kononnya mereka semua akan dibebaskan, sebaliknya mereka semua terus ditahan & ditahan. Yang betul-betul membuatkan saya geram adalah kisah penghantaran pulang isteri Ustaz Ibrahim, Pn.Solehah.

Setelah lama di Penjara Alor Setar, Pn. Solehah diberitahu oleh pihak penjara yang beliau sudah dibenarkan pulang. Semua urusan penghantaran sudah diuruskan. Di saat itu, betapa gembiranya Pn. Solehah & beberapa kawan beliau kerana sudah berbulan-bulan tidak berjumpa sanak saudara bahkan khabar berita suami mereka pun mereka tidak tahu samada masih hidup atau mati. Tetapi sampai sahaja di Alor Setar, kereta yang membawa mereka tadi itu terus memecut tinggalkan mereka sehelai sepinggang. Semua orang tiada duit untuk balik disebabkan beg mereka berada dalam kereta!

Pembaca sekalian. Saya nak jelaskan lagi sekali. Tujuan review ini bukanlah untuk memburuk-burukkan sesiapa. Ketiga-tiga pihak bertindak ikut rasa benar masing-masing. Penduduk kampung bertindak demi mempertahankan sinar Islam dari dihapuskan dari kampung mereka. Pihak pemerintah ketika itu pula berusaha mempertahankan dasar kerajaan yang kurang Islamik. Sementara pihak keselamatan negara pula bertindak demi menjaga keselamatan negara. Ternyata semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

Jadi, tujuan review ini adalah untuk membuka mata masyarakat agar 'tolong dengar cerita dari pihak yang lain' juga. Jangan butakan mata & pekakkan telinga lagi. Selama ini, Peristiwa Memali terus menerus dikaburkan sejarahnya dengan fitnah jahat menerusi akhbar, TV radio, internet & sebagainya. Malah semua mangsa Kg. Memali hingga kini masih belum mendapat keadilan & pembelaan yang sewajarnya.





14 penduduk kampung yang terbunuh:

1. Ustaz Ibrahim Mahmud,Kampung Charok Puteh, 45 tahun,guru dan pendakwah Islam.
2. Ahmad Hassan,Kampung Alor Melentang, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983.
3. Syafie bin Dahaman,Sekolah Menengah Siong, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong.
4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling,72 tahun,penoreh getah.
5. Abdul Manaf bin Waden,Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah.
6. Ghazali bin Mohd Saman,Kampung Becah Sawa, 36 tahun,merinyu malaria.
7. Mohd Radzi bin Ahmad,Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah.
8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting,32 tahun,penoreh getah.
9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, 36 tahun, penoreh getah.
10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun,pemandu.
11. Abdullah bin Yasin,Kampung Guar Reban, 33 tahun,berniaga.
12. Mohd Daud bin Kadir,Kampung Becah Sawa, 53 tahun,penoreh getah.
13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, 30 tahun, mekanik motosikal.
14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, 69 tahun.

Al-Fatihah kepada semua para syuhada.


Seorang pakar politik pernah berkata masa Utusan Malaysia melaporkan berita ketika Peristiwa Memali,

"Surat khabar ni, keputusan nombor ekor je yang betul!"

Seorang mangsa Memali pula berkata,
"Busut anai-anai dikatakan kubu,telaga dikatakan ada air jampi untuk bagi kekuatan. Dah kena gas pemedih mata,kena cari air laa.. perkakas bertani macam parang,golok dikata senjata api & madrasah pula dikata kubu komunis!"

Groebler, Menteri Penerangan Jerman masa zaman Hitler pernah berkata,
"Pembohongan yang diulang & diulang,akhirnya akan diterima sebagai kebenaran."

7 ulasan:

  1. macam mana nak bli atau dapatkan buku ni??
    boleh tolong x??

    BalasPadam
  2. subhanallah....tak tergambar penderitaan mereka.saat itu...semoga allah membalas kejahatan mereka dengan balasan.setimpal dan sgt berharap kes ini dibuka semula utk diadili

    BalasPadam
  3. subhanallah....tak tergambar penderitaan mereka.saat itu...semoga allah membalas kejahatan mereka dengan balasan.setimpal dan sgt berharap kes ini dibuka semula utk diadili

    BalasPadam
  4. Saya ada buat review buku mengenai Tragedi Memali ni, tapi dari sudut pandangan bekas polis. Nampaknya yang ni lebih menarik, Insya Allah nak cari.

    BalasPadam
  5. Saya pernah bertanya kepada bekas Polis mengenai Memali. Beliau merasa marah dan meletak jawatan kerana rasa terpukul disebabkan oleh pegawai atasan mengambil tindakan membunuh orang Islam dengan hanya cerita dari orang politik.

    BalasPadam
  6. Jika isu ini bnar sma skali dan ada nya niat & konspirasi jahat dr kerajaan malaysia pimpinan tun M msa tu,apa yg aku bleh ckp krajaan mmg SiAL jaHanNaM lah lbih truk dr binatang buas !! Babi !!

    BalasPadam
  7. http://www.illustrasiaku.com/kisah-sebenar-peristiwa-memali/Saya pun masih tercari2 kbnrn ttg memali...nk baca or dgr dari dua2 pihak.. ttp yang ini pulak mcmna ye...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...