Tazkirah 13 : Fenomena Kampus...Kuliah Cuti, Solat Subuh pun Cuti?





Manusia memang perlu didisiplinkan dengan sistem. Islam sendiri adalah satu sistem. Solat ialah satu sistem, puasa, zakat ada sistem tersendiri, apa lagi ibadat haji. Dengan amalan Islam, hidup kita lebih bersistematik.

Apabila ada masa cuti, cuti cuti juga tetapi jangan sampai lupakan sistem. Jika ketika ada kuliah@praktikum kita kena bangun awal sebab mahu ke kelas@sekolah. Dengan adanya sistem solat, walaupun kuliah cuti, kita tetap kena bangun awal untuk mengerjakan solat subuh.

Janganlah mentang-mentang tidak ada kuliah, solat Subuh menjadi Subuh gajah. Yang lebih tragis lagi, membiarkan sahaja solat subuh tersebut berlalu begitu sahaja. Nau’zubillah. Yang ini kita kena pastikan diri kita terutamanya serta sahabat-sahabat@roomate supaya bangun untuk bersolat Subuh. Ingatlah bahawa:

Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:

Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.
Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan.
Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.
(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).
.....................................................................................................................

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:
Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.
(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).

Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir. Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:

  1. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang. Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.
  2. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi. Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
  3. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat. Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.
Lihat betapa besarnya solat, dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat.

Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.



Begitu juga dengan pelajar perempuan, mereka ke kuliah@sekolah memakai tudung. Tutup aurat sebenarnya bukanlah sekadar untuk memenuhi tuntutan disiplin institut@sekolah atau untuk kelihatan cantik menawan atau bersopan atau sebab orang lain memakainya tetapi mereka seharusnya melakukan demikian atas perintah Allah.

Tidak terlepas juga dengan waktu, jangan buang masa, sebab masa adalah kehidupan. Sebenarnya walaupun kita ada masa cuti dan berehat perlu diingat syaitan dan iblis serta konco-konconya tidak pernah berehat atau cuti. Makhluk ini tidak tidur malam, malah misinya tidak akan berhenti sehingga manusia tergoda dengan pujukannya. Syaitan dari awal lagi mengisytiharkan perang dengan anak Adam untuk menyesatkannya selagi nyawa masih di badan.

Ingat! cuti cuti juga tetapi jangan sampai solat pun bercuti, tutup aurat cuti dan al-Quran pun cuti. Sebenarnya Allah memerintahkan kita mentaati-Nya supaya kita hidup bersistem dan Allah hendak menjanjikan syurga kepada kita. Syaitan yang tidak pernah cuti itu akan terus menggoda kita supaya sama-sama menemaninya di neraka dan supaya kita hidup tidak berdisiplin.

Ingatlah bahawa kita dijadikan pada fitrahnya adalah orang yang baik dan suci. Janganlah biarkan kesucian diri kita dinodai oleh syaitan. Pastikan kita sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan, bukannya kejahatan@kemungkaran.

Kepada diri ini, sahabat-sahabat, cuti-cuti juga, program pembangunan iman untuk diri ini mesti termasuk dalam agenda seharian kita. Bawa hati-hati kita ini untuk turut sama berada di majlis-majlis ilmu khususnya di masjid untuk bersama-sama mengerjakan solat berjemaah di masjid. Ajaklah diri ini untuk mendengar kuliah yang tidak pernah lekang diadakan di masjid, malah mendalami bacaan al-Quran sama ada pada awal pagi atau petang.

Hadiahilah hati-hati ini dengan buku-buku dan cerita bermanfaat. Hantarlah diri ini ke kem-kem motivasi untuk peningkatan sahsiah (peribadi), tontonilah video-video@filem tarbiyah supaya dapat timbulkan keinsafan diri, bawalah diri ini untuk menziarahi sanak saudara, sahabat, rakan taulan untuk meningkatkan ukhuwah fillah dan jadikan cuti ini sebagai sesuatu yang bermakna untuk kita bersama-sama bermuhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi ALLAH.

Akhir kata, cuti-cuti juga, beribadat jangan berhenti, taat jangan berkurang, kerja diteruskan, sebab di dunia tempat mencari bekalan. Bercuti dan berehat sebenarnya di syurga yang abadi..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Info 12 : KAMUS LOGHAT PERLIS YANG UNIK

Indahnya Berbahasa : Bahasa Istana

Info 13 : Nak laju??? Koreklah blok!!..