Pengumuman 3 : Pemergianmu..abahku..
Pemergianmu
Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team
http://liriknasyid.com
(Ya Rasulallah...)
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia ?kan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu
Meskipun lagu ini ditujukan khas buat junjungan mulia kita, terlintas difikiranku betapa agungnya pengorbanan seorang ayah yang berhempas pulas mengerahkan segala kudrat yang ada untuk mencari nafkah bagi menjaga dan memberi segala keperluan untuk isteri dan anak-anaknya biarpun terpaksa menahan lapar dan dahaga semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah s.w.t..
Pada tanggal 27 Mei 2010 bersamaan dengan 13 Jamadilakhir 1431H, abahku yang disayangi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Tuanku Fauziah Kangar pada jam 1.30 pagi ditemani oleh ibuku yang setia menjaganya sejak abahku disahkan oleh doktor bahawa beliau menghidap masalah saluran darah tersumbat dan nadi yang lemah kesan daripada pekerjaannya sebagai 'wireman' yang kebiasaannya bermain dengan elektrik dan adakalanya terkena rencatan elektrik yang sememangnya menjadi asam garam bagi orang yang terlibat dalam bidang ini.
Terkenal dengan kemahiran yang unik, abahku seorang yang serba boleh, sehingga mendapat jolokan panggilan Doktor Lektrik, Lee Lektrik, dan macam-macam lagi panggilan yang sememangnya agak mustahil untuk diterima oleh orang yang tidak mengenali abahku kerana beliau tidak pernah menerima apa-apa latihan dan pengajian tentang pendawaian elektrik sama ada di peringkat sijil, diploma ataupun ijazah yang melayakkannya menerima gelaran sedemikian. Selain itu, beliau juga berkebolehan dalam membaiki peralatan elektrik, membaiki dan servis motorsikal, mereka cipta dan mengubahsuai peralatan yang telah rosak untuk digunakan semula dan bermacam-macam lagi. Pendek kata abahku mahir dalam kemahiran tangan dan dengan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah itulah beliau gunakan untuk mencari rezeki dan menolong sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
Beliau mendidikku dengan tabah. Teringat suatu ketika dahulu, disaat aku belum mengenal apa itu huruf dan nombor, beliau mengajarku dengan bersungguh-sungguh dan pernah satu ketika aku dirotan dan dengan berkat rotannya itulah aku jadi seorang manusia dan dengan berkat doanya dan ikhtiarnya, akhirnya aku berjaya masuk ke maktab perguruan yang sememangnya menjadi kebanggaan baginya untuk melihat aku berjaya sebagai seorang guru meskipun beliau pergi meninggalkan aku disaat aku benar-benar memerlukan sokongannya.
Teringat suatu ketika dahulu, kehidupan kami yang sederhana sememangnya tidak mampu untuk aku menginginkan keperluan yang semewah golongan berada, akan tetapi abahku tetap berusaha untuk memastikan anaknya mendapat yang terbaik. ketika itu, aku menginginkan sebuah basikal, basikal ‘mountain bike' yang pada ketika itu terlalulah mahal untuk dibeli oleh kami. aku malu dan segan untuk mengajukan kepadanya takut nanti dimarahi kerana tidak memahami situasi keluarga akan tetapi beliau sebenarnya berusaha juga kerana ketika itu aku sahaja yang belum memiliki basikal walaupun sudah berumur 13 tahun. Akhirnya beliau telah membawa pulang sebuah basikal yang sehingga kini aku tetap menaikinya kerana di sudut hatiku benar-benar menghargai pemberian darimu..abahku..
Kini, gelak tawamu hilang dari pendengaran kami..riuh bisingmu jauh dari kami..senyuman manismu tidak dapat kami tatap lagi...meskipun hanya gambarmu sebagai pengganti, belum mampu cukup untuk merungkai kerinduan di lubuk hati kami sebagai anakmu wahai abahku...
Aku rindukan tunjuk ajarmu..aku rindukan kasih sayangmu..aku rindu gelak tawamu..biarpun kau tak pernah dan tak pandai lafazkan dengan kata-kata yang kau sayangkan kami, kau rindukan kami, bagiku kau seorang ayah yang luar biasa kerana bisa mengungkapkan kasih sayangmu dengan didikanmu, dengan asuhanmu, dengan perilakumu..kerana aku tahu kau benar-benar sayangkan kami sekeluarga. Aku doakan kesejahteraanmu di sana, semoga Allah melindungimu dari azab seksa, diletakkan bersama insan yang berpekerti mulia..terima kasih abahku kerana mendidikku sehingga aku dewasa..terima kasih Allah kerana memberi aku kesempatan merasa nikmat bersama seorang ayah yang mulia..
Kehilangan seseorang menjadikan kita lebih tabah...
BalasPadamAbahku insan mulia...kudoakan abahku diberkati di dunia dan di akhirat..ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat rahmatNYA..amin..
BalasPadam