Tazkirah 43 : WAJIBKAH MEMPELAJARI ILMU PERTAHANKAN DIRI???
Ibubapa sekarang lebih rela menghantar anak-anak mereka belajar Tae Kwan Do daripada belajar silat Melayu yang dianggap kononnya banyak bercampur dengan ilmu-ilmu sesat. Kononnya bila nak mula belajar silat kena mandi minyak panas dahulu dan macam-macam lagi perkara yang bida'ah. Memang tak dinafikan perkara begini wujud pada masa lalu
semasa penulis belajar silat pada tahun 70an. Pernah juga mandi minyak panas dahulu semasa belajar silat gayung di kampung, Kedah.
semasa penulis belajar silat pada tahun 70an. Pernah juga mandi minyak panas dahulu semasa belajar silat gayung di kampung, Kedah.
Tapi kini semua perkara yang karut marut telah mengalami perubahan kerana guru-guru silat sekarang sudah tahu tentang hukum dan perkara yang melibatkan bida'ah dan khurafat. Amalan-amalan yang bertentangan dengan syariat agama Islam telah dibuang sepenuhnya. Tapi masih ada lagi perkara karut marut tetapi itu kes terpencil. Mungkin guru silat ini mengamalkan ilmu hitam dan hanya berlaku di negara seberang sana.
Penulis pernah belajar sehingga tamat 4 jenis silat dari silat sendeng (1970), silat gayung (1973), silat Minangkabau (1975) dan yang terakhir sekali iaitu silat Cekak Hanafi (1989) yang mana silat ini mengambil buah-buah yang terbaik sahaja dari semua silat melayu. Walaupun telah lama belajar dan lupa pergerakan-pergerakan untuk menangkas serangan. Tapi bila terjadi sesuatu, ia terjadi dengan sendiri pergerakan yang telah diajar kerana telah sebati dalam diri penulis. Pernah dahulu penulis menyelamat seorang taukeh Cina dari dirompak oleh lima orang samseng Cina dari Ipoh di hadapan sebuah hotel di Bukit Bintang.
Semasa menolong taukeh ini, banyak orang yang lalulalang tapi banyak yang memandang daripada memberi pertolongan. Tapi dengan berkat doa guru dan pertolongan Allah swt, taukeh itu dapat penulis selamat dari dirompak. Selepas kejadian itu kami menjadi kawan baik dan agak senang juga kehidupan masa itu kerana selalu mendapat hadiah dan ganjaran tanpa diminta oleh penulis. Selepas balik ke Perak kami terputus hubungan mungkin ada baiknya juga.
Penulis amat bangga dengan warisan Melayu. Kerana penulis berbangsa Melayu. Penulis tidak suka Melayu dipanggil dengan nama Kaum Melayu. Kerana Melayu bukannya kaum, tetapi sebuah bangsa. Bangsa yang mempunyai sebuah tamadun yang mempunyai kepelbagaian keistimewaan dan keunikan. Antara keistimewaan yang besar yang sehingga kini diwarisi oleh Bangsa Melayu adalah SILAT. Silat adalah sebuah seni mempertahankan diri yang lahir dari kehebatan dan kepahlawanan Panglima-panglima Melayu dahulu. Sejarah mencatatkan bagaimana, ketangkasan dan kehebatan 5 orang sahabat semasa pemerintahan Melaka, berjaya menjulang nama Melaka sebagai sebuah kerajaan yang aman dan harmoni. Kemudian, seni mempertahankan diri itu mengalami revolusi selari dengan perubahan masa, zaman dan keadaan setempat.
Ramai yang masih ragu-ragu dengan “apakah hukum mempelajari ilmu seni mempertahankan diri.” Penulis merasakan pertanyaan ini seringkali dijawab dengan jawapan-jawapan yang sambil lewa dan tidak mengambil berat dalam pengambilan pandangan-pandangan dikalangan ulama’ muktabar. Seringkali, menjawab pertanyaan ini dengan berkata, “boleh, tidak ada masalah. Sebab kita wajib mempertahankan diri.” Memang benar jawapan ini, tetapi mengapa kita tidak membesarkan mata kita terhadap seni mempertahankan diri yang tidak selari dengan tuntutan syariat? Misalnya, harus tunduk sembah kepada gambar master yang sudah mati. Tunduk sembah kepada matahari, dan pengambilan bahan-bahan yang diharamkan dalam Islam serta mengamalkan petua-petua yang secara jelas mengingkari akidah islamiah. Selain itu, ada juga seni mempertahankan diri, membutakan penglihatan-penglihatan para pelajarnya dengan mempamerkan sesuatu yang diluar batas kemampuan manusia. Adakah pertunjukkan ini mahu mengambarkan pembuatnya itu adalah wali? Sedangkan sesuatu karamah atau maunah, bukanlah boleh didatangkan dengan kehendak manusia itu. Tetapi karamah atau maunah, didatangkan atas keizinan Allah dan kehendak-Nya. Selain daripada(maunah dan karamah) itu, semuanya adalah istidraj. Iaitu sesuatu yang diberikan kurnia semata-mata untuk menjerumuskan manusia terus ke dalam kesesatan.
Perbahasan para Ulama’
Ulama' sejak dari dahulu telah membahaskan tentang (hukum) mempelajari seni mempertahankan diri. Dalil yang diambil dalam memahami isu ini ialah dari surah al-Anfal ayat 60,
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi.”
Terdapat juga sebuah hadith yang direkodkan Abu Daud, bahawa Nabi saw pernah bergusti dengan Rukanah. Dan menurut hadith tersebut, Rukanah dan Nabi saw pernah bergusti lebih dari sekali. Berdasarkan kepada hadith ini, para ulama’ mengulas bahawa gusti tidak akan sesekali mengurangkan kewibawaan, kemulian dan darjat seseorang.
Menurut Imam Yusuf al-Qardhawi,
“Belajar seni mempertahankan diri adalah dibenarkan bagi mereka yang mampu. Kadangkala ia menjadi wajib bagi seseorang. Khususnya bagi mereka yang diancam dengan serangan fizikal. Dengan mempelajari ilmu bela diri, seseorang akan memiliki bekal untuk menangkis serangan serta mematahkan usaha lawannya. Pandangan ini sesuai dengan kaedah syariat yang menyebutkannya, “Hal yang menjadi syarat bagi terjadinya sesuatu yang wajib, maka hukumnya menjadi wajib pula.”
Seni mempertahankan diri tidak harus ada campur tangan hal-hal yang boleh mengoncangkan akidah. Menurut Ustaz Abdul Kadir,
“Yang penting seni mempertahankan diri itu mestilah jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat dan bid’ah. Kalau seni silat sekalipun, tetapi ianya mengandungi perkara-perkara syirik, khurafat dan bid’ah seperti mandi bunga, mandi limau, mandi tawassul dengan kain putih dan seumpamanya, maka sudah tentu kita tidak boleh menyertainya.”
Tujuan seni mempertahankan diri
Tujuan silat atau seni mempertahankan diri yang lain yang utama adalah untuk mempertahankan diri dari serangan musuh. Tetapi konsep ini seharusnya dilihat dengan lebih luas, kerana silat atau seni mempertahankan diri yang lain, bukan sahaja mengajar cara untuk berhadapan dengan musuh tetapi juga membina kekuatan jasmani pengamalnya. Perkara ini menepati kehendak Islam yang menginginkan penganutnya sentiasa sihat dan kuat. Sepertimana dalam sebuah hadith yang direkodkan Imam Muslim, bahawa Nabi saw berkata:
“Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah daripada mukmim yang lemah.”
Dalam hal ini, Imam Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa,
“Islam tidak menghendaki tubuh yang rapuh, yang tidak boleh menangung beban ketika sedang dituntut darinya, tidak mampu menghadapi kesengsaraan, serta tidak kuat ketika mendapat tentangan. Islam menolak manusia seperti yang digambarkan oleh seorang penyair arab dahulu:
“terpaan angin-angin sepoi melukai kedua belah pipinya, dan usapan sutera membuat hujung-hujung jemarinya berdarah.”
Kesimpulannya, seni mempertahankan diri atau seni bela diri tidak kiralah sama ada silat, taekwando, aikido dan lain-lain, haruslah bersih daripada perbuatan yang menyalahi syariat serta tidak mendatangkan bahaya kepada pengamalnya, fizikal dan mental.
Wallah Hu Alam.
Al-Fatihah
Dipetik daripada RESEPIRAHSIAKU.COM
Sejak bila ada Cekak Hanafi tahun 1989? konfius la
BalasPadam