Tazkirah 8 : SEKULARISME????





JAHILIAH DAN SEKULARISME

Setengah manusia mengira bahawa Jahiliyyah adalah tempoh tertentu daripada zaman sebelum datangnya Islam di tanah suci Arab. Jahiliyyah adalah intipati tertentu yang mungkin mengambil gambaran yang berbagai-bagai mengikut bi’ah, situasi, masa dan tempat. Maka semua gambaran itu serupa bahawa Jahiliyah meskipun berbagai-bagai bentuk rupa. Jahiliyyah bukan lawan kepada apa yang dinamakan ilmu, makrifat, ketamadunan, madaniah, kemajuan kebenaran dan nilai-nilai pemikiran, sosial, politik dan kemanusiaan secara mutlaknya.

Walaupun ianya telah lama terkubur selepas kedatangan Islam, namun sisa-sisa atau saki baki yang tertinggal ini telah menyerap masuk kedalam jiwa kebanyakkan manusia tanpa disedari oleh mereka sendiri sekaligus terbentuknya manusia yang terpesong dari petunjuk yang haq kerana terlalu mengikut nafsu demi kepentingan diri.

Sesungguhnya Jahiliyyah sebagaimana yang dimaksudkan dan tentukan oleh Al-Quran ialah keadaan nafsiyyah (diri) yang menolak untuk berpandukan dengan petunjuk Allah serta sistem tanzimi yang menolak dengan pemerintah dengan apa yang diturunkan oleh Allah:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin” (Al-Maidah : 50)

Ibn Qayyim berkata : “ Panggilan dengan panggilan (slogan) Jahiliyyah seperti panggilan kepada qabilah-qabilah dari puak bagi seseorang dan seumpamanya taasub dengan mazhab-mazhab, golongan-golongan, tuan-tuan guru, melebihi setengahnya ke atas setengah yang pada sudut hawa nafsu dan asobiyah…….”.

Semenjak perkembangan kehidupan dan kelahiran aqidah yang thabitah dengan perubahan syariah berdasarkan kesesuaian manusia sehinggalah kesempurnaan Islam pada sudut aqidah dan syariah sebagai satu agama yang datang dari sisi Allah. Maka berterusanlah manusia terbahagi kepada dua golongan, tiada yang ketiga, Muslimin atau Jahiliyyin.


SEKULARISME.

Perkataan sekularisme berasal dari perkataan latin iaitu “Saeculum”. Saeculum bermaksud masa dan tempat. Dengan kata lain, “masa dan tempat” ini bermaksud Masa Kini Bertempat di Dunia.

Dari Kamus Dewan : “Fahaman (doktrin) yang menolak atau memisahkan agama atau ciri-ciri keagamaan di dalam urusan-urusan yang tidak bersangkutan dengan agama.

Dari buku Daa`ratul Maa`rif al Brithoniah “Sekularisme ialah suatu gerakan sosial yg bertujuan memalingkan manusia daripada mementingkan kehidupan duniawi semata-mata. Kecenderungan tersebut telah berkembang sepanjang sejarah moden kepada sebuah fahaman sekularisme sebagai gerakan yg menolak agama dan ajaran kristian”.Kalimat sekularisme berasal dari kalimat Latin saeculum dan kalimat Inggeris secularism.


ASAL-USUL SEKULARISME

Dimana dan bila bermulanya gerakan sekularisme?
Sekularisme adalah satu ideology (fahaman) ciptaan manusia yang sangat merbahaya dan harus diperangi habis-habisan. Asalnya, fahaman sekularisme merupakan cetusan pemikiran golongan pekerja di Eropah yang tidak puas hati dengan pemerintahan pihak gereja, lalu mereka memisahkan bidang kuasa gereja dan pemerintahan untuk mencapai matlamat mereka. Sesungguhnya tidak ada dari yang lain matlamat mereka melainkan untuk memuaskan hawa nafsu mereka dan memperolehi apa jua yang mereka ingin tanpa menghiraukan perkara-perkara lain. Sebab itu, kita sebagai umat Islam mesti menolak sekularisme kerana penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka.



Apakah kesan sekular pada ekonomi ?
Sekularisme bukan sekadar menghalalkan perkara yang diharamkan, tetapi menyediakan berbagai peluang supaya kemungkaran dan maksiat terus berkembang dan berleluasa. Mereka menyediakan tempat-tempat khas untuk zina dan mengadakan pesta-pesta dan konsert-konsert yang membawa ke arah maksiat. Alasan mereka mudah. Mereka menyatakan ini adalah salah satu cabang sumber kepesatan ekonomi Negara. Ternyata, fahaman ini, mengaburi mata umat islam dengan kehebatan nikmat di dunia. Sebab itu zina, arak, riba, liwat dan sebagainya daripada berbagai bentuk kemungkaran tidak dikirakan suatu kemungkaran pada pandangan sekularisme.

Riba merupakan tunggak dan asas kekuatan ekonomi sistem sekular. Mereka meletakkan riba dalam bank-bank yang beroperasi serta memaksa manusia menerima sistem riba yang dijalankan Riba merupakan suatu yang diharamkan oleh Allah swt. Ingatilah larangan Allah swt :

“Wahai orang–orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan apa yang tinggal daripada riba jika kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya”
Maka tatkala menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah merupakan suatu kekufuran maka jelas sekularisme bertentangan dengan ta’alim dan ajaran Islam, dasar dan perlaksanaan. Orang yang melakukan seperti itu bukanlah termasuk dalam kelompok muslimin dan secara dharurinya menjadi kemestiaan bagi orang Islam untuk menolak sekularisme dan pemerintahannya.

Apakah kesan sekularisme pada politik?
Dari sudut politik pula, kesan sekularisme begitu ketara. Kuasa yang diamanahkan dari Allah kepada pihak tertentu untuk mendaulahkan Islam disalahgunakan malah dipesongkan mengikut acuan sendiri demi kepentingan diri dan kaum kerabat masing-masing. Mereka menggunakan acuan penjajah yang diwasiatkan kepada mereka untuk mereka gunakan dalam aspek perundangan, urusan jual beli dan aspek-aspek yang lain.

Mereka bukan sahaja tidak melaksana perintah yang telah ditetapkan olehNya, malah ada juga segelintir dari mereka menghina, mengutuk, memfitnah majhaj yang mulia ini. Mereka merasakan method islam ini tidak lagi selari dengan peredaran zaman yang canggih dan lagi maju.

Sekularisme menyerang umat Islam dan menghapuskan syariat Islam dari pemerintahan dan menjadikan undang-undang yang memerintah dan kekuasaan yang mengawal manusia ialah kekuasaan yang lain dari Allah swt,yang lain dari syariat Islam yang diturunkan oleh Allah swt. Kerana itulah menjadi kewajipan kepada kita untuk mengkufuri sekularisme dan menolak sistem yang berdiri di atas dasar sekularisma dan sama sekali kita tidak rela dan redha dengan sistem tersebut sehingga tertegak kekuasaan Allah dan tinggi kemuliaan Islam dan Islam adalah syarat yang memerintah manusia.

Apa kesan sekular pada pendidikan?
Apabila kita mendalami mengenai method pendidikan yang disyorkan oleh syara’ yakni method yang dikehendaki oleh Islam,sistem ini mampu membawa penganut-penganut islam ini membersihkan jiwa manusia dan menanamkan rasa taqwa kepada Allah. Apa yang terjadi pada dunia sekarang ini, sistem pendidikan negara kini telah diracuni dengan racun yang mampu melupakan manusia kepada Khaliqnya.

Berbagai-bagai kepalsuan seperti penyelewengan fakta-fakta sejarah islam, mengagungkan-agungkan sainstis barat, menabur para pelajar dengan cerita-cerita berkenaan dengan kehebatan yang dimiliki oleh musuh-musuh islam dari segi teknologi, persenjataan dan sebagainya ternyata berjaya mempengaruhi pemikiran manusia khususnya masyarakat islam sekaligus tertanam dalam jiwa mereka dengan kehebatan material yang sememangnya palsu dari penyerahan secara total kepada Allah.

Sekular sebahagian daripada fahaman materialisme kerana
● Ia membataskan metodologi ilmu kepada pancaindera manusia yg lima sahaja.
● Membataskan alam wujud hanya kepada yg dapat dikesan oleh pancaindera.
● Menyandarkan bukti materialistik dalam penemuan ujikaji sains.
● Memandang hukum alam adalah dikawal oleh hukum tetap (seperti teori Isaac Newton) yang mengatakan bumi beredar disebabkan adanya magnet dan beliau menafikan adanya kuasa tuhan.


PECAHAN SEKULARISME

Sekularisme bertindak sebagai pemangkin kepada kelahiran isme baru buatan manusia yang jelas tidak memberikan kesan yang efektif dalam kehidupan manusia. Isme buatan manusia yang berkait rapat dengan sekular ialah :



Asas pengeluaran isme yang bertentangan dengan Islam adalah disebabkan :
وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Tidak akan redha selamanya Yahudi dan Nasrani kepada kamu sehingga kamu mengikut ajaran (agama) mereka.” ( Al-Baqarah 120)

Apa itu Nasionalism?.
Fahaman ini datang dengan meniupkan semangat kebangsaan dan Islam tidak menjadi asas kepada kesetiaan, ketaatan, dan kasih sayang tetapi bangsa dan negara menjadi asas dan kecintaan serta permusuhan, umat Islam berpecah belah dan Islam tidak menjadi penjaga dan mengawal pergerakkan mereka dan kerana itu umat dikosongkan dari cita-cita dan keinginan Islam dan ditiupkan kepada mereka cintakan negara sebagai gantinya.

Semangat kebangsaan yang dikemukan oleh fahaman ini telah menimbulkan berbagai masalah yang sehingga susah untuk diperbetulkan, negara ketiadaan rakyat dan rakyat kehilangan negara walaupun zahirnya mereka memiliki negara. Manusia hidup mementingkan diri sendiri sehingga cerdik pandai dan intelektual tidak mampu untuk membuat sesuatu kerana mereka kehilangan sandaran masyarakat kepada mereka. Kata-kata orang jahil dan bodoh menjadi pegangan dan pemerintah jatuh ketangan orang-orang yang bodoh. Apabila orang-orang bodoh memerintah maka berlakulah kerosakkan yang berleluasa, usaha yang sia-sia, pemerasan tenaga dan belenggu pemikiran.

Takrif ini menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.

Apa itu Kapitalisme?
Memang sudah menjadi lumrah manusia untuk mengejar kesenangan dan kemewahan hidup. Tiada manusia yang mahukan kedaif dan kepayahan dalam hidup mereka kecuali kewarasan pemikiran mereka di angkat oleh Allah. Islam tidak melarang umatnya untuk mengumpul harta dan menjadi kaya raya selagi methodnya tidak melanggari batas-batas agama. Islam menetapkan kewajipan pembayaran zakat dan saranan bersedekah untuk menolong umat islam yang memerlukan.

Ini sangat berbeza dengan fahaman kapitalisme yang asaskan oleh pemikiran yang jahil. Penciptaan fahaman ini hanya untuk memperjuangkan hak kebebasan berekonomi tanpa batasan. Kesannya, wujudlah golongan kaya menjadi semakin kaya dan golongan miskin terus papa kedana. Fahaman ini juga ditolak kerana ia menyebabkan peradaban kemanusiaan menjadi rosak, moral dan akhlak mereka runtuh, dan ia juga punca segala bentuk kezaliman dan penindasan sesama manusia kerana kejahilan dan kebodohan manusia sendiri yang tidak tahu hakikat kehidupan yang sebenarnya.

Apa pula Sosialisme?
Fahaman ini dicetuskan untuk memperjuangkan nasib dan hak kesamarataan orang bawahan dan nasib buruh. Walaupun ini tampak baik dan adil namun ia adalah suatu yang melanggari fitrah. Ini kerana, walaupun kerja yang dilaku oleh pekerja sangat banyak, namun nilai upah atau ganjaran yang diberikan tetap sama dengan pekerja yang sedikit kerjanya.

Apa itu Komunisme?
Komunisme adalah fahaman sosialis ala Karl Marx dari Jerman. Beliau berketurunan Yahudi dan meluaskan skop sosialisme dengan memperjuangkan nilai kekuasaan untuk membina sistem kesamarataan. Sistem ini menafikan hak mencari harta bagi yg mampu sebaliknya harta seseorang diagih kepada orang ramai tanpa usaha golongan yang menerima itu.fahaman ini diteruskan oleh Lenin,kerana itu ia disebut marxis-leninisme,


KESIMPULAN

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
“itulah corak (celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik pencoraknya (celupannya) daripada Allah s.w.t.” ( Al-Baqarah : 138)

Memperjuangkan ideologi selain Islam adalah membatalkan syahadah.Ini kerana isme-isme pembawakan manusia menumpukan kepada materialistik dan kita seharusnya membanyakkan bacaan walau dalam bahan apa sekalipun untuk membersihkan fikiran kita daripada kekotoran barat yang berusaha merungkai tali Islam dari leher kita. Kata-kata Saidina Umar “Sesungguhnya Islam akan terungkai satu persatu dari orang Islam apabila dia tidak mengetahui akan hakikat jahiliah”.

Rujukan:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sekularisme
http://abraxas248.blogspot.com/2009/05/sekularisme-musuh-islam.html
http://wwwlastmanstanding.blogspot.com/2011/01/bahaya-sekularisme.html



SEKULARISME DIMATAKU

Untuk pengertian yang lebih jauh sekular merujuk kepada sesuatu yang dimiliki atau yang bersangkutan dengan dunia lahir sahaja dan tidak ada kena mengena dengan keabadian. Dalam perbincangan ini sekular bermakna kehidupan yang tidak ada kaitan dengan perkara ghaib, atau perkara agama.

Dengan begitu sekularisme adalah bermakna satu fahaman yang memisahkan agama dari kehidupan ini, khususnya kehidupan bernegara. ASEKULARISME.

Teras kepada sekularisme ialah politik yang berasaskan kepada perkauman atau pun kebangsaan, atau apa yang kita panggil nasionalisma. Manakala ekonominya pula berasaskan laissez faire dan falsafah individualisma.Ia kemudiannya merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan pemujaan kepada modenisma, materialisma dan pemujaan hawa nafsu.

Menelusuri sekularime di Malaysia, ia sebenarnya datang bersama-sama penjajah Inggeris yang menakluk negara ini dari tangan Belanda. Dalam Perjanjian Pangkor pada 1874 antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke, syarat penting dalam perjanjian itu ialah residen Inggeris akan menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali mengenai agama Islam dan adat Istiadat Melayu. Dengan semikian segala urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang negeri terserah kepada Inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka yang tidak pernah memikirkan soal agama dan sebagainya. Di sini para Sultan sudah kehilangan hak politik dan pemerintahan dan tidak lagi berkuasa untuk mencegah usaha-usaha menanamkan fahaman sekular yang dibawa oleh Inggeris. Dan akhirnya berlakulah apa yang dinamakan pemisahan politik dari agama, atau agama dari negara.

Bila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 dasar pemisahan di antara agama dan negara itu diteruskan dan dikekalkan dalam bentuk konstitusi iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam Bahagian 1, ceraian 1,2,3 dan 4, soal agama diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri manakala soal pemerintahan diserahkan kepada wakil rakyat tidak kira samada Islam dan bukan Islam. Akhirya terpisahlah Islam dari pemerintahan kerajaan Tanah Melayu itu.

Sebagai langkah untuk menguatkan lagi sekularisme, penjajah Inggeris merancang dan telah pun berjaya melahirkan segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.

Golongan ini kemudian berjaya memesongkan akidah dan perjuangan masyarakat Islam di Tanah Melayu, dan mereka seterusnya berjaya menanamkan fahaman sekular itu ke dalam tubuh masyarakat Melayu sehingga orang-orang Melayu yang beragama Islam itu turut memuja fahaman kebendaan dan sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.

Bidang yang paling teruk menerima kesan sekularisasi adalah bidang pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah merupakan saluran dan alat terpenting untuk mencorakkan haluan hidup manusia itu sendiri. Stamford Raffles adalah seorang pegawai Inggeris yang bertanggung jawab mengemukakan rancangan halus untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui pendidikan beliau merencanakan Singapura sebagai pusat bagi kebangkitan semula peradaban asli kuno dan menyegarkan menerusi penyebaran perluasan pengaruh Inggeris dan faedah-faedah pendidikan dalam kemajuan ekonomi Barat. Beliau telah mengemukakan gagasan pusat Pengajian Asia Tenggara bagi mencapai matlamat ini. Beliau berhasrat untuk melahirkan bangsa-bangsa yang bijaksana dan terpelajar selaku orang suruhan yang jujur kepada sistem pentadbiran penjajah. Ia juga menyarankan supaya pendidikan untuk anak-anak Melayu mestilah menerusi tulisan rumi dalam usaha mengurangkan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Melayu.

Selanjutnya perkara yang menjadi perhatian Inggeris ialah bidang ekonomi. Mereka memperkenalkan sistem kapitalis yang mengagungkan riba, jika tidak berasaskan riba sesuatu sistem itu tidak akan dapat dijalankan. Sistem ini berasaskan dasar laissez-faire yang berteraskan kebebasan individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi. Manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlansung dan menjadi amalan masyarakat. Akhirnya manusia menjadi haiwan ekonomi, dan mereka pun memilih cabang-cabang Islam yang hanya sesuai dengan jiwa mereka, dan tidak lagi berfikir untuk menegakkan Islam dan melaksanakan jihad seperti yang dikehendakki Islam.

Demikianlah masyarakat Melayu mula membenci orang-orang yang hidup sederhana, yang tidak menyintai dunia, dan yang mengamalkan sikap zuhud. Segala-galanya dinilai dengan wang ringgit. Masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang dikehendakki oleh Islam. Kemudian pada dekad-dekad terakhir lapan puluhan lahirlah Dasar Ekonomi Baru, Amanah Saham Nasional, 30 peratus penyertaan bumiputra dalam sektor perusahaan, Loteri Kebajikan Masyarakat, dan berbagai lagi perkara yang menjurus kepada soal kebendaan semata yang kesemuanya bertentangan dengan prinsip Islam.

Aspek politik adalah yang paling utama menerima kesan dari sekularisme. Perlembagaan Malaysia adalah bukti yang paling jelas dalam hal ini. Ia menafikan kekuasaan Allah, Rasulnya dan AlQuran. Politik dan agama menjadi terpisah.Sedangkan sepertimana yang kita tahu dalam Islam, agama dan politik adalah satu. Tidak bercerai berai. Hijrahnya Rasul saw adalah untuk mendirikan negara Islam di Madinah. Ini bermakna Islam dan politik tidak dapat dipisahkan, di mana ia bertentangan sama sekali dengan hakikat perjalanan politik di Malaysia. Politik kita sekarang adalah acuan dari Barat, politik yang mengutamakan nafsu dan kebendaan.

Apabila benda-benda menguasai manusia, maka mereka pun tenggelam dalam suasana hidup yang tidak ada berpedoman, semuanya bertuhankan nafsu. Sebab itulah hidup masyarakat kita hari ini sedang menuju ke arah kehancuran, akibat merebaknya pengaruh sekularisme itu, bahkan ianya dibelai pula oleh pemerintah kita, menjadikan orang Islam di Malaysia terlalu individualistik, hidup mementingkan diri, mengejar kemewahan dan sebagainya. Projek-projek membazir sudah menjadi semacam satu pemujaan, semuanya adalah kerana fahaman kebendaan telah berakar umbi ke dalam jiwa Melayu yang mengaku beragama Islam. Mampukan orang-orang Melayu sorot balik ke belakang? Soalnya terletak kepada orang Melayu sendiri. Namun pengaruh sekularisme bukanlah semudah itu untuk dibuang, apalagi ia telah tertanam ke dalam jiwa dan dijunjung pula oleh kaum pemerintah. Inilah halangan-halangan utama untuk menyebarkan akidah Islam, apalagi untuk memberikan kefahaman tentang negara Islam kerana fahaman itu amat bertentangan dengan jiwa Islam yang murni itu

Dan jika sekiranya kita berminat untuk menegakkan Islam, kita haruslah memerangi fahaman ini yang menjadi halangan utama ke arah merealisasikan cita-cita Islam itu. Bersediakah kita?

Ulasan

  1. Ar Rayah World News

    Janji Allah 'Khilafah' Tinggal Selangkah Lagi

    http://ibnuyassir.blogspot.com/

    BalasPadam
  2. Right on. Ι diѕcover а lіttle something
    сompletely new аnd exciting on pages I come acrοѕs оn
    http://гeԁzuanrozlе.blogspοt.
    com/ гegulагlу. It's never a bad idea to engage the ideas and material of other writers and link to other sites.

    Feel free to visit my website :: wood fired pizza oven

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Info 12 : KAMUS LOGHAT PERLIS YANG UNIK

Indahnya Berbahasa : Bahasa Istana

Rujukan kehormat